
Bahasa Melayu kaya dengan peribahasa. Peribahasa dicipta berdasarkan pemerhatian terhadap kehidupan harian manusia. Peribahasa yang bermula dengan kata "akal" misalnya mewakili sifat-sifat lazim manusia. Akal kancil bermaksud tipu muslihat yang licin. Manusia yang pintar dalam tipu muslihat dikatakan berakal kancil. Peribahasa lain yang seerti dengan akal kancil ialah akal bulus, akal ubi dan akal keling. Manakala akal geladak bermaksud tipu muslihat yang jahat. Manusia yang penuh dengan tipu muslihat yang jahat digelar berakal geladak. Manakala akal sejengkal mewakili manusia yang berasa diri lebih daripada orang lain. Akal tiga jengkal pula bermaksud manusia yang berasa diri kurang daripada orang lain. Akal budi ialah fikiran yang sihat.Kenapa saya kemukakan peribahasa "akal" di sini? Kerana dalam 3 Pilihan Raya Kecil yang baru berlalu, ramai manusia menggunakan "akal" yang saya maksudkan di atas, kecuali akal budi. Akal kancil, akal bulus, akal keling, akal ubi dan akal geladak banyak digunakan. Kita dapat melihat melalui kempen dan ceramah politik betapa banyaknya manusia mempertontonkan peribahasa akal. Malah dalam tv, radio dan akhbar juga terdapat banyak "akal" yang kekadang membosankan. Akal kancil dan akal geladak sahaja tidak mencukupi, terdapat pemimpin politik yang menggunakan "akal-akal". Akal-akal bermaksud pura-pura. Ahli politik yang "berakal-akal" sampai bila pun tidak akan disokong rakyat.Malangnya akal budi sukar dicari. Kalau pemimpin kita berakal budi, akal yang lain tidak akan ada. Akal budi tidak sehaluan dengan akal yang lain. Akal budi bermusuh dengan akal kancil, berseteru dengan akal keling dan berdendam dengan akal-akal.Kekalahan calon Barisan Nasional di Bukit Gantang dan Bukit Selambau kerana terdapat pemimpinnya yang mempunyai terlalu banyak "akal". Semua akal mereka ada melainkan akal budi. Akal kancil, akal keling, akal geladak dan akal-akal boleh dilihat daripada tingkah laku, perlakuan dan percakapan mereka di gelanggang politik. Sebaliknya akal budi hanya berdiri di tepi gelanggang. Kalaulah akal budi diberikan peluang masuk gelanggang, nescaya calon BN ada peluang menang. Tetapi itulah dasar BN. akal budi ditolak ke tepi.Barisan pemimpin UMNO yang baru kononnya barisan terkuat tetapi tidak mampu memberikan sebarang bantuan kepada kemenangan calon BN. Batang Ai tiada kaitan dengan UMNO kerana di Sarawak UMNO tidak diterima. Walaupun pernah mengacah-acah hendak masuk Sarawak tetapi ditolak. Orang Sarawak bukannya bodoh.Kerana terlalu kaya akal maka selepas pilihan raya kedengaran pula alasan-alasan yang tidak masuk akal. Seorang penganalisis politik yang bergelar Doktor mengatakan kekalahan calon BN di Bukit Gantang tidak mengejutkan kerana yang mengejutkan ialah jumlah majoriti. Beliau berkata jumlah majoriti sepatutnya lebih besar kerana "orang kuat" Pas berlawan dengan "orang kecil" UMNO. Pendapat yang menggelikan hati. Akal apa si Doktor ini? Akal kancil bukan, akal geladak pun bukan. Akal-akal jauh sekali. Doktor tanpa akal. Alasan yang tidak masuk akal. Calon Pas bukan setakat berlawan dengan calon UMNO tetapi berlawan dengan Ketuanan Melayu. Kalau diletakkan orang kuat UMNO pun akan kalah juga kerana pengundi Bukit Gantang bukan tidak ada akal. Akal mereka akal budi.Manakala di Bukit Selambau, seorang kawan memberitahu calon BN tewas kerana berlaku sabotaj. Ketua Perhubungan UMNO Kedah orang Pak Lah. Jadi apabila calon BN kalah, orang Pak Lah juga akan "kalah". Ini pula akal apa? Setiap kali kalah pasti akan kedengaran cakap-cakap pasal sabotaj. Dulu di Kelantan apabila UMNO kalah pemimpinnya akan berkata berlaku cah keting. Bukan Pas kuat tetapi UMNO lemah. Berlaku cah keting sama sendiri.Berikanlah seribu alasan sekalipun, rakyat tetap memilih yang boleh dipercayai dan diharap dapat menjamin masa depan mereka. Jangan ingat rakyat bodoh. Rakyat ada mata, ada telinga. Mereka dengar apa yang diperkatakan. Mereka nampak apa yang diperlakukan. Rakyat tahu apa sebenarnya yang berlaku di Perak. Rakyat tahu apa yang terjadi dengan bekas ADUN Bukit Selambau. Rakyat sekarang hanya menjunjung keadilan dan kesaksamaan. Rakyat tidak boleh dipaksa menjunjung perkara lain. Rakyat faham maksud Kedaulatan Undang-undang dan Keluhuran Perlembagaan. Rakyat dapat membezakan demokrasi daripada fasis.Kalah dalam Pilihan Raya Umum lalu kononnya kerana Pak Lah. Kalah di Terengganu kerana calonnya kawan menantu Pak Lah. Sekarang Pak Lah sudah berundur, menantunya tidak campur dalam pemilihan calon, tetapi kalah juga. Siapa pula yang bakal bertanggungjawab? Najib Razak selaku Perdana Menteri yang baru? Ini juga tidak masuk akal. Najib baru beberapa hari duduk kerusi nombor satu negara. Jadi siapa yang mesti dipersalahkan? Jawapannya ialah kesemua pemimpin BN haru dipertanggungjawapkan. Realitinya parti komponen BN belum berubah dalam erti kata sebenar. Mereka masih dengan cerita lama dan idea basi.


No comments:
Post a Comment
gerakan yang licik